Saturday, April 19, 2008

RM100 juta untuk babi di Selangor: Satu penilaian ringkas

Assalamualaikum. Semoga semua para pembaca sentiasa dirahmati dan dilindungi Allah SWT.

Pertama, saya memohon maaf kerana membangkitkan isu Babi di Negeri Selangor D.E dalam blog BankWahabi; tajuk dan isi yang tersasar jauh daripada objektif utama Blog BankWahabi. Namun saya sudah sekian lama memikirkan untuk mengajak dan menyeru agar para pembaca; tidak kira daripada aliran mana (kanan atau kiri) agar membuka minda dalam masalah Babi yang dihangat dan dipanaskan oleh media massa terutamanya TV3 & Pihak tertentu yang masih bodoh, buta, tuli, pekak dan keras kepala.


Kedua, saya tidaklah menyokong 100% cadangan RM100 Juta untuk Babi di Selangor; kerana projek ini mestilah dilihat pro dan contranya.

Pro atau kebaikannya;

1. Menjaga alam sekitar daripada tercemar.

2. Mengelakkan dan menghapuskan penternakan Haram (di sisi undang-undang Malaysia tidak mempunyai lesen).

3. Memudahkan pengawasan dan penjagaan bagi pihak PBT dan pihak Negeri Selangor D.E

4. Menjaga keselamatan dan kesihatan masyarakat tempatan daripada penyakit berjangkit.

5. Menjamin keperluan makanan bagi rakyat setempat yang bukan beragama Islam.

6. Menjadi model kepada penternak babi di negeri-negeri lain yang masih mencemarkan dan membahayakan penduduk setempat.

Contra atau keburukannya;

1. Dibimbangi rakyat setempat beragama Islam memakan daging babi.

2. Dibimbangi produk-produk tempatan bercampur dengan babi meningkat.

3. Dibimbangi berlaku salah guna kuasa dalam pembahagian tapak ternakan.

4. Dibimbangi berlaku salah faham antara penternak yang boleh menyebabkan pertelingkahan yang membahayakan masyarakat setempat.

5. Dibimbangi kebarangkalian sistem teknologi moden itu tidak berfungsi sepenuhnya.

6. Dibimbangi kurang pemantauan daripada pihak PBT dan Negeri Selangor D.E yang boleh menyebabkan penternak melakukan sesuatu aktiviti yang bercanggah dengan peraturan dan etika.

7. Dibimbangi tidak atau kurang mengambil berat tentang maintenance pada sistem moden yang diguna pakai.

8. Dibimbangi memudahkan penyakit berjangkit merebak dalam kilang tertutup tersebut terutamanya pekerja dan babi yang sihat; maka menyebabkan kerugian besar.



Jika mahu dikaji, memanglah banyak keburukan ternakan ini. Namun, Kerajaan Negeri Selangor D.E kini di bawah pimpinan PR hanya melaksanakan perjanjian Kerajaan Negeri Selangor D.E yang lalu di bawah pimpinan BN. Pimpinan lalu telah memberlanjakan ribuan ringgit untuk mengkaji keburukan dan kebaikan projek ini; dan mereka memutuskan untuk meneruskan projek ini (pada satu masa tertentu). Tetapi kuasa kerajaan negeri beralih arah ke PR, maka pihak-pihak BN menafikan dan menentang sekerasnya projek ini. Hal demikian amat menghairankan saya dan kebanyakan rakyat tempatan; kerana menentang idea dan hasil penat jerih mereka. Pelik! boleh buat orang jadi gila dan hilang 100% kepercayaan kepada pihak kerajaan BN terdahulu dan akan datang (jika ada rezeki); malahan kerajaan BN sekarang juga, kerana seolah-olah semua projek yang dilaksanakan oleh kerajaan BN tidak bermanfaat dan membahayakan Negara, rakyat dan alam sekitar. Oleh itu, nasihat saya kepada pihak media massa dan juga pihak tertentu agar menghentikan memainkan isu Babi di Selangor agar pihak tertentu tidak terus hilang nama di persada Negara. Pada masa yang sama, pihak PBT dan pihak Negeri Selangor hendaklah memastikan pemantauan 100% dijalankan agar tidak berlaku kegagalan sistem atau mengurangkan “failure rate”. Namun saya yakin dengan kemampuan, pengalaman, kebijaksanaan MB Negeri Selangor D.E kini; dalam menguruskan hal-hal berisiko tinggi ini.

Selain itu, dalam media massa yang ditayangkan oleh TV3; ada terpapar pada kain rentang melakarkan 3 babi yang tertera pada badan babi itu DAP-PKR-PAS. Saya sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam mengutuk dan membantah perbuatan individu tersebut kerana seolah-olah mengcela agama mereka sendiri. Nasihat saya kepada semua samada berhaluan kanan atau berhaluan kiri khususnya ummat Islam, jika mahu membantah dan berdemontrasi; hati-hatilah jangan sampai menggadaikan akhirat untuk dunia.

Ketiga; saya mahu membawa para pembaca memikirkan sejenak dua situasi yang berbeza untuk kita lihat sejauh mana keburukan dan kejelakan ternakan babi RM100 Juta di Negeri Selangor D.E

3.1: ANTARA KILANG ARAK DAN TERNAKAN BABI

Cuba fikirkan; di Negeri Selangor ini wujud satu kilang Arak yang lebih besar daripada sesetengah masjid. Kilang ini dibina lebih 15 tahun dan kerajaan negerinya di bawah pimpinan BN. Selain itu, penjualan arak di Negeri Selangor merata-rata dan mudah didapati seperti di Jaya Jusco, Tesco, Giant, kedai 24 jam 7eleven dan lain-lain lagi kecuali sesetengah kedai runcit. Adakah daging babi dijual melata seperti Arak? Pembeli Arak terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam; walaupun kerajaan Negara Islam Malaysia arif dan sedar bahawa bagi orang Islam Arak itu Haram hukumnya dan peminumnya boleh dikenakan hukuman hudud mengikut undang-undang Negara Islam hakiki yang berlandaskan Syariat Islam.

Cuba kaji; berapa ramai orang Islam Malaysia memakan daging Babi? Dan berapa ramai orang Islam meminum air Arak? Orang Islam Malaysia mampukah mengunyah dan menelan daging babi? Orang Islam Malaysia mampukah meminum arak? Tanyalah muda-mudi, artis-artis, orang politikus, ayah manis (sugar daddy), lelaki simpanan (gigolo), perempuan simpanan (Escort girl), pekerja pusat karoeke dan disko, mak datin dan pak datok, orang Islam yang hidup macam orang kafir lagaknya. Berapa ramai orang Islam bekerja dengan industry yang berkaitan dengan aktiviti arak? kalau rajin buatlah survey atau kajian agar kita jelas dalam hal ini. Semua tahu bahawa babi dan arak adalah haram di sisi agama Islam. Tetapi saya lihat trend di Malaysia haram itu seperti ada level; arak haramnya ok sikit, tetapi haram babi bahaya, tak lalu nak muntah. Apa bezanya?

Cadangan Pada Kerajaan; Sepatutnya dalam menjaga nama baik Negara Islam Malaysia; Penutupan Kilang Arak wajib diutamakan, untuk kita jika mahu berdemonstrasi agar kerajaan Negeri Selangor tutup atau kurangkan operasi; adalah Kilang Arak. Dengan melihat maslahat orang Islam di Malaysia, kerajaan mesti mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan orang Islam melakukan dosa besar ini. Jika kerajaan mahu membangunkan projek ternakan babi RM1 Billion pun tidak akan ada orang Islam Malaysia memakan daging babi tersebut dan tidak pula berlaku situasi yang sama pada kilang arak.

Cuba guna akal logik; antara kilang Arak dan Pusat ternakan babi RM100 Juta; yang manakah patut ditutup, dihentikan, dihalang, di demonstrasikan, di mainkan di kaca TV dan di politikkan? Jawablah dengan jawapan bahawa anda seorang Orang yang Beragama ISLAM dan mengambil berat tentang masalah yang melanda Umat Islam di Negara kita; khususnya bangsa Melayu yang kian hancur dan hilang ditelan kerakusan hawa nafsu terhadap dunia.

3.2: ANTARA PUSAT JUDI DAN TERNAKAN BABI

Cuba fikir; Di Negeri Pahang berapa lama sudah terbina pusat judi terbesar asia tenggara. Di kebanyakan negeri dalam Negara Islam Malaysia terdapat pusat-pusat niaga nombor ekor yang dikategorikan adik beradik judi. Semua pusat tersebut menjalankan kegiatan haram disisi Agama Islam. Bagi orang Islam di Malaysia; amat mudah untuk berjudi, kerana tiada pihak yang mahu, rajin, berhajat menangkap mereka.

Cuba kaji; Berapa ramai orang Islam yang menjadi tetamu pusat judi? Berapa ramai orang Islam yang bekerja di pusat-pusat judi tersebut? Adakah pihak kerajaan, media massa, ketua-ketua kampong, masyarakat Islam setempat tidak tahu? Tetapi kenapa tiada demonstrasi, tiada bantahan, tidak dimainkan isu ini di kaca TV? Atau haram judi sama dengan arak tetapi tidak sama dengan babi? Kalau rajin cuba duduk depan kedai Magnum atau 4 Digit; kemudian buat bancian, berapa ramai orang Islam yang membeli nombor ekor, sudah tentu ramai orang Islam. Sebab kebanyakan orang Islam Malaysia miskin, gaji kecil, malas bekerja dan malas berusaha.

Cadangan Pada Kerajaan; Sepatutnya dalam menjaga nama baik Negara Islam Malaysia; pusat-pusat judi lebih patut diberi perhatian; terbaik menutup dan jika tidak mampu; pantaulah operasi pusat tersebut daripada pelbagai aspek. Selain itu, judi ini antara dosa besar sama seperti meminum arak dan memakan babi; maka aplikasinya adalah sama. Malah, pusat judi ini ramai pelanggannya orang Islam; kalau saya buat bancian hampir 50% atau lebih. Maksudnya, 50% pendapatan pusat judi itu daripada wang milik orang Islam. Ini bermakna ramai orang Islam di Negara Islam Malaysia melakukan dosa besar iaitu berjudi. Judi juga merugikan rakyat setempat yang bukan beragama Islam. Secara amnya judi merugikan rakyat Malaysia (Islam dan bukan Islam)

Cuba guna akal dan logik; yang mana patut kerajaan tutup demi menjaga kepentingan Orang Islam daripada terus bergelumang dalam dosa dan noda? Siapakah yang menanggung dosa dengan merelakan dosa tersebut dilakukan

Rumusan:

Oleh demikian, jika mahu diaplikasikan mengikut kaedah usul; “bahaya/mudharat yang paling ringan” adalah ternakan babi. Kerana jika kita perhatikan; bahaya dan mudharat judi dan arak.

JIKA BERJUDI; bergaduh suami isteri, berlaku perceraian, ketidak seimbangan dalam keluarga, malas bekerja, rampas duit gaji isteri, tidak memberi nafkah secukupnya pada keluarga, paksa anak-anak bekerja, berhutang sana-sini, menggadaikan isteri atau anak kerana langsai hutang judi judi, ketagih dan sukar meninggalkannya, melakukan dosa besar berterusan, melayakkan diri disiksa dalam neraka, hidup tidak berkat, sentiasa kemurungan, peningkatan dalam masalah sosial dan jenayah, melembabkan aktiviti ekonomi, menambahkan kadar pengangguran.

JIKA MINUM ARAK; masalah kesihatan seperti kanser, akal fikiran tidak stabil, mulut bau busuk, merugikan wang ringgit, kerja tidak sempurna, aktiviti ekonomi tidak stabil, bergaduh suami isteri, jenayah rogol/zina meningkat, ketagih, mendapat dosa besar berterusan, layak medapat siksaan api neraka, pukul anak isteri, kemalangan jalan raya meningkat, membahayakan keselamatan orang ramai, hidup penuh maksiat tiada berkat, memudahkan melakukan dosa-dosa besar yang lain, menyebabkan aliran wang keluar Negara kerana import arak, mengurangkan pendapatan per capita rakyat.

JIKA MAKAN BABI; ada ke orang Islam makan babi? Rata-rata orang Islam yang saya buat survey di KL dan Selangor tidak akan memakan Babi sampai mati; tetapi judi dan arak adalah gaya hidup masyarakat Bandar bagi mereka (kalau nak jawab pada mereka; itu gaya hidup masyarakat Bandar Neraka). Kalau para pembaca rajin, tolong buat survey sekali tentang makan babi, berjudi dan minum arak di kalangan Orang Islam di Negara Islam Malaysia. Mana yang lebih banyak orang Islam terjerumus?

Akhir kata; semua pihak samada kerajaan wakil BN dan juga PR mestilah mengembleng tenaga dalam melihat masalah yang melanda Orang Islam Malaysia; khususnya Masyarakat Melayu yang kian runtuh pegangan agama, etika dan norma, ekonomi, kesetiaan pada Negara, kesetiaan pada Raja. Satu badan mestilah digerakkan untuk mengelakkan MELAYU HILANG DI PERSADA DUNIA. Wakil pimpinan BN; duduklah diam daripada berkokok memburukkan pihak lawan; cadangan saya, kukuhkan parti agar tidak terburai dan hancur ditelan zaman dan kebangkitan rakyat. Wakil pimpinan PR; buktikanlah kepada rakyat bahawa PR juga mampu mentadbir Negara dan menjamin kesejahteraan, keselamatan, keadilan rakyat; jika tidak lambat laun akan menerima nasib yang sama seperti parti sebelumnya.






"DEMI MENJAGA ISLAM AGAMA YANG TERCINTA"



No comments: